Search

PUISI-PUISI ZEFRI ARIFF, SASTRAWAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM*

Zefri Ariff. (Istimewa)

DI PULAU KATA

di Pulau Kata
kauhimpun sejumlah nama
kaususun kauatur menjadi ceritera
baitnya tersurat dalam sahibul hikayat
maka berlangsung sebuah kembara

nama yang menjadi ceritera
bertiti bak mentera pengasih
melekat di dinding fikir
larut di dasar jiwa
menghimpun mimpi warisan

di Pulau Kata
kau,
menjadi bentara
menjadi raja
menjadi panglima
menjadi laksamana;
kata sahibul hikayat mendendang wira:
penuh sakti
penuh budi
penuh mandiri
penuh bakti

di pulau mana mereka kini
ketika mesin-mesin sakti
mengawali gerak
mengakhiri ceritera
dogeng di Pulau Kata?

12-04-2020 – 10-05-2025

RASUK 1
memandang horizon
di perpantaian alam
di perbukitan atau di awangan
menemukan hujung langit dan bumi
yang tersasar ufuk
aku menyedut udara kasa
yang telah lama menerawang
berkitar hidup dan mati
sang manusia, haiwan, tumbuhan,
malah air dan api dan tanah
milik siapa udara yang beredar
di salunadi pembuluh darah
yang bersinggahan di kerongkongan,
paru-paru dan jantung dan
urat dan perut?
tiba-tiba aku
menjadi singa menyeringai buas
dan tiba-tiba
menjadi anak ayam menciap kelaparan
dan tiba-tiba
menderu aku daun ru dipulas angin
dan tiba-tiba
membatu aku bisu sepejal kerikil
dan tiba-tiba aku
sedar dalam rasuk:
ragaku bernafsu udara silam
dari jasad pemimpin dan juga hamba
dari jisim binatang dan juga tumbuhan
dari zarah tanah dan juga air
dalam zikir panjang kemalaman
aku menghela nafas istighfar
agar udara kuhirup nafas
selagi suci, damai dan luhur
dari segala nista dosa;
huha… huha… huha…
hu Allah hu…
15 September 2022
11.10 pagi

REPOSISI

suara dari jantung
berdendang di cuping;
ilusi di belakang retina
menggera isyarat nadi;
darah meluru laju
di terowong pembuluh:
tiba-tiba
suara dari jantung
menggeletar keluar
satu-satu
dari mulut derita

aksara batin bersatu
menempa kata;
kata zahir bertanda
meluah rasa;
rasa gerak bertandu
ke liang lahad

anak-anak kecil
meratapi wajah kaku
seperti semalam
dan sebelumnya –
suara dan ilusi
melekat
di benak mimpi pekat

maunya hidup bermimpi:
mati hidup kembali
buta celik semula
tuli dengar lagi

tapi anak-anak kecil
terus derita…

ah! bila mimpi
jadi realiti?

kerana mereka sudah
lama mati!

11 November 2020

MEJA DAN LORONG

Dewasakah kita kalau semalam kita merangkak bertelatai dan kini berjalan berlari?
Yang berlari adalah masa dan kita tetap mengejarnya kelelahan.
Tanpa lelah kita belajar di meja ini mengenal huruf dan angka,

membaca kata dan membilang nombor;
Di meja ini kita berkumpul dalam ruang yang berbeza
Di meja ini kita mengolah rupa dan mencari arah
Arah datang dan pergi sesingkat meja fikir
Menuju lorong jiwa

Apakah dewasa kerana usia berpanjangan tanpa jasa?
Jasa dijaja meraih kiriman saku
Saku kenyang menelan meja dan lorong
Sehingga tiada tinggal jejak:
Jejak telah lama punah tanpa pandu
Pandu arah kembali menjadi saksi
Saksi budi terpedaya dengan gemilai cahaya
Cahaya kedewasaan bangkit setelah mengerti
Mengerti jalan pulang tiada pateri janji
Setelah sekian meja fikir kaupecahkan
Dan lorong terpasang penggera maut

Kita kembali dewasa sekarang
Duduk keliling meja sidang
Mencari lorong masuk
Keluar dari lumur

22-07-2019 – 10-05-2025

MATA DERITA
mata yang mengintai
bagai ahli sihir
menanak kawah nafsu dan dendam
menguar cangkah api
dan bara derita;
barisan tangga berlumut
dinding-dinding belerang
lahar kebencian
meletus asap-asap domba
mata yang mengintai
hati
semakin remuk
bagai syuhada
di jaringan dosa
astaghfirullah
ya Bashir…
18 Nov 2017

*) Zefri Ariff merupakan sastrawan dari Negara Brunei Darussalam. Zefri sangat berpengalaman dalam bidang media, bahasa, sastra, seni dan budaya.

Dilansir kualihitam.com, ia juga merupakan Naib Presiden Asian Youth Council (AYC), Bendahari Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC), Setiausaha Agung Tertinggi Majlis Belia Brunei (MBB), Pengerusi Tetap Majlis Belia Daerah Brunei Muara (MBDBM), Ketua 1 Kumpulan Putra Seni, Ahli Eksekutif Asian Theatre Association (ATA), Ahli Asia Pacific Writers & Translators Association (AP Writers), Ahli Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI), Penasihat Teknikal Gabungan Penerbit Drama/Hiburan Tv dan Karyawan Seni (GAPHAR) Brunei, kurator Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) dan panel Jawatankuasa Penilai S.E.A. Write Award (2014-2016).

Ia banyak terlibat dalam pelbagai projek yang dianjurkan oleh ASEAN-Committee on Culture and Information, SEAMEO-SPAFA, Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), ASEAN University Network (AUN), ASEAN-KOREA Culture & Arts Forum, World Assembly of Youth (WAY). Asian Youth Council (AYC), Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC) dan International Youth Centre (IYC) Kuala Lumpur.

Catatan: Redaksi memperoleh puisi-puisi Zefri Ariff sastrawan Brunei Darussalam dari penulisnya sendiri. 

Bagikan

Kunjungi Berita Alternatif di :

BACA JUGA

POPULER BULAN INI
INDEKS BERITA